Ahad, 27 Jun 2010

UMNO Kini Lebih Islamik Daripada Pas

Oleh: Ahmad Henry

Penyertaan 40 orang ulama ke dalam UMNO sudah cukup untuk membuktikan UMNO sebagai parti politik Melayu yang Islamik. Ini sekaligus melenyapkan imej Pas yang sejak dahulu diterajui oleh golongan ulama, atau sekurang-kurangnya disertai oleh orang yang berkehendakkan hukum Islam tertegak di Malaysia.

Ada beberapa hujah yang merelevankan UMNO sebagai parti Islamik. Pertamanya berkenaan kata kunci ‘40’. Jumlah 40 orang Ulama itu sudah cukup untuk mengIslamkan UMNO. Tidak perlu tunggu ‘100’. Sejak dulu UMNO selaku komponen dalam BN memang sudah terkenal dengan imej Islamiknya. UMNO-BN telah bersusah payah membina imej Islamik dengan mengislamkan bangunan-bangunan dan institusi. Misalnya ada UIAM, Tabung Haji, Bank Islam, IKIM, dan sebagainya. Namun, jarang sekali umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar bersyukur dengan susah payah UMNO-BN ini. Mereka lebih suka menyokong Pas kerana Pas ingin menegakkan hukum Allah s.w.t.

Kedua, ulama yang masuk UMNO ialah pensyarah dan cendekiawan serta lulusan luar negara. Tidak seperti Pas. Pas hanya dipimpin oleh individu yang mempunyai kelayakan membuat fatwa. Mereka setaraf mufti. Mana mungkin Pas layak dilabel sebagai parti Islamik kerana Pas dipimpin oleh individu setaraf mufti. Nanti Pas boleh keluar fatwa. Boleh kata judi itu haram, maksiat itu dosa. Macam mana negara nak maju kalau semua itu haram….Owhhh…Pas tak Islamik. UMNO yang Islamik.

Ketiga, UMNO ada tokoh agama seperti Rosmah, Shahrizat, Azlina dan yang seangkatan dengannya. Mereka ini tokoh yang sangat Islamik. Namun mereka tak suka menonjolkan imej Islamik seperti Pas. Ini benar seperti yang didakwa oleh Mahathir. Menurut Mahathir dalam satu sidang akhbar, ahli partinya tidak suka menonjol-nonjol imej Islamik. Mereka lebih toleran dan open. Sebab itu mereka seksi dan tidak bertudung secara sempurna. Ia sama seperti apa yang didakwa oleh Najib mengenai Islam sederhana yang cuba diperjuangkannya ke negara-negara Eropah. Islam sederhana tu maknanya, bertudung la secara ala kadar, tunaikan la hak Allah s.w.t jika ada kepentingan untuk nafsu. Sekali lagi UMNO lebih Islamik.

Akhir kata, saya bawakan petikan tokoh ulama yang baru sahaja masuk UMNO yang Islamik itu. Renungkanlah apa yang dikatakan oleh beliau.

“Tujuan asal kami masuk UMNO adalah untuk berdakwah bukannya berlandaskan politik walaupun kami sertai parti politik. UMNO kami gunakan untuk memperkasakan lagi dakwah. Kami tidak masuk Pas kerana dalam Pas sudah ramai ustaz dan ulama, tapi yang penting saya harap nanti ada kerjasama.” –Penasihat Agama IJN, Fathrul Bari Mat Jahya (Sinar Harian, 26 Jun)


Ahmad Henry merupakan penulis buku bertajuk: "60 Tahun Islam di Bawah UMNO-BN, Terbelakah Islam?"


SHARE ARTIKEL

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites